To My Dearest Daughter Balqis
Pertama sekali Ba nak ucapkan selamat harıjadi walaupun terlambat. Ba minta maaf kerana tidak sempat untuk beli hadiah istimewa untuk Kiss. Ba harap Kiss faham. Kiss makin membesar, cantik dan bijak. Kiss patut bersyukur kerana Allah telah beri keistimewaan ini pada Kiss dan anugerah ini Kiss perlu terima dengan gembira dan lapang dada dan seadilnya Allah itu. Dia tıdak anugerahkan pada setiap makluk anugerah yang serupa, mungkin seakan sama. Setiap insan ada keistimewaan yang tersendiri. Tetapi kita ada hak untuk mewarnakan anugerah ini untuk menjadi satu kehıdupan yang sangat indah umpama pelangi. Tetapi bukan mudah untuk menjadi pelangi supaya di nikmat oleh semua makluk. Untuk membentuk pelangi yang cantik ia perlu kepada unsur unsur yang lain untuk bersatu menjadi taburan aneka warna yang berselang seli. Pelangi ini akan hilang bila mana unsur unsur itu tidak lagi bergabung dan bersatu.
Kiss,
Hidup ini akan hambar dan tawar kalau tidak diwarnai dengan pengorbanan, dugaan dan cabaran. Segala pancaroba dan dugaan ini lah yang akan membuat kita kuat dan kental untuk berusaha dengan lebih gigih. Jangan kita mengalah dengan cabaran dan halangan dan jangan pula kita alpa dengan kejayaan yang kita capai sebab semuanya itu bersifat sementara. Yang teramat penting adalah istiqamah dalam melakukan sesuatu. Hidup di dunia Allah jadikan orang yang bijak dan juga manusia yang jahil. Allah juga jadikan manusia yang kaya raya dan manusia yang miskin. Segalanya untuk kita bantu membantu dan saling memerlukan dan bukan menjadikan diri aur di dalam belukar yang mementing diri sendiri.
Kiss,
Masa berlalu begitu pantas. Kalaulah masa dapat diputarkan balik ingin Ba menjadi zaman kanak kanak semula dan membetul kan kesilapan di masa lampau atau menebus kembali cita cita yang belum tercapai. Pastinya masa yang berlalu tidak kembali. Umur semakin meningkat. Muda menjadi tua. Cantik hanya sementara dan suatu hari nanti pastinya riwayat akan di tamatkan. Tapi hanya ilmu di dada yang akan sentiasa memberi manafaat pada diri kita dan umat sejagat bila di cari dan di sebarkan dengan sebaiknya. Jadilah kita seperti padi, semakin menuntut bila semakin berisi.
Kiss,
Kejayan bukan datang dengan sekelip mata dan kejayaan tidak akan datang tanpa usaha dan pengorbanan. Dengan pengorbanan inilah akan berhasil kemanisan hatta pengorbanan inilah yang akan mematangkan jiwa untuk menempuh segala cabaran yang mendatang. Jadilah seperti labah labah yang tidak pernah berputus asa. Walau sarang rosak di tiup angin tetapi semangat untuk membina sarang semula tidak pernah pudar. Hidup kita ibarat roda. Ada kalanya kita di bawah dengan kekecewaan dan lara. Kadang kita di atas dengan kejayaan. Tetapi jangan sekali kali jadikan kekecewaan dan kegagalan itu pembunuh semangat dan akhirnya terkulai dan membuatkan diri tidak lagi bisa bangkit. Kita jadi longlai tak bermaya dan kecundang di pertengahan jalan. Sepatutnya jadikanlah segala kekecewaan dan kegagalan itu sebagai azimat untuk kita bangkit dengan semangat juang yang baru tanpa menoleh kebelakang dan di bayangi oleh peristiwa hitam. Semua manusia melalui saat saat sebegini dan mereka yang mempunyai sifat kental, teguh dan kuat akan bangkit dengan kejayaan.
.
Akhir kata semoga anak anak Ba faham apa maksud yang tersirat dan yang tersurat. Sebenarnya diri sendirilah yang akan mencorakkan kehidupan masing masing. Gunalah akal fikiran yang waras yang dapat mentafsirkan apakah kehidupan yang sebenar.
.
Salam dari Ba yang jauh.........I love all of you and I miss you so much!
Comments